Monday, February 7, 2011

NIR KARSA-NIR JAYA ! HUT 57 PADA 01 O1 2018.

Sekitar Zaman Awalnya Sekolah Dato Bentara Luar, Batu Pahat, Johor
Pada ulangtahunnya Senin 01 01 2018 mantan pelajar dan guru Sekolah Dato Bentara Luar wajar sekali menengok ke tahun-tahun awal sejarahnya yang gilang-gemilang itu.

Barangkali sekolah kita  dapat ditonjolkan sebagai yang terawal atau yang pertama didirikan seantero negara tanggal 1 Januari 1961, setengah abad yang lalu (Bentara 2/1961-Annual Report).

Nama Sekolah Dato Bentara Luar dipilih atas persetujuan Ketua Pegawai Pelajaran Johor pada waktu itu, En. S. V. Ponniah dan En. Talib bin Abu, Pegawai Daerah Batu Pahat (Majalah Bentara 2/62-Laporan G. B) untuk mengabadikan nama dan jasa Dato Bentara Luar, Muhammad Salleh bin Perang, putera luar biasa negeri Johor yang telah membuka Batu Pahat pada tahun 1893 dan pernah pula menjadi "Wakil Raja memerintah Batu Pahat" sampai dengan tahun 1911 (Kamdi Kamil, Hj -artikel).

"Pendiri" atau pengasas Sekolah Dato Bentara Luar ialah En. S. V. Ponniah , Ketua Pegawai Pelajaran Johor. Sebenarnya biaya membina Sekolah Dato Bentara Luar itu tidak kedapatan langsung dalam Anggaran Belanja (Budget) Pejabat Pelajaran Johor 1960. Dengan menghemat dan memperkecil perbelanjaan di Pejabat, maka dapatlah En. S. V. Ponniah menyediakan dana yang seadanya untuk membangun sekolah kita itu (Bentara 1/61.Halaman 7)

Sekolah Dato Bentara Luar dibangun pada situs yang terletak di bahagian lembah yang berhampiran dengan penghujung Jalan Lim Poon dan agak jauh pula dari pinggiran Jalan besar Batu Pahat-Kluang. . Di seputarnya perkebunan getah yang merentang ke lereng Gunung Soga di kejauhan. Puncaknya yang menjulang dan masih menghijau seakan-akan menaungi sekolah yang baru lahir itu.  Batu pertama untuk sekolah itu dipancang pada bulan Julai 1960; bulan Julai bersempana dengan bulan meninggalnya Dato Bentara Luar pada tahun 1915. Pembinaan gedung sekolah dimulai segera sesudah pemancangan batu pertama oleh pihak JKR Batu Pahat. Pembiayaan seluruhnya tidak termasuk perabotan dan yang lain-lain sebagainya, sejumlah $150,000 (Bentara 2/1962-Laporan Z. A. T)

Dipilih oleh JKR Batu Pahat kontraktor Ong Kah Hoe untuk membina sekolah tersebut dan gedung yang dibina bersifat "semi-permanent", menampung 11 buah kelas, 1 bilik guru, 1 pejabat, 1 stor, 1 kantin dan 1 tandas yang bersifat "permanent structures". Untuk mengutip kata-kata Zainal Abidin Tamby, tandas tersebut merupakan "... an excellent and up to date lavatory" (Bentara 2/1962-Annual Report).

Seperti adanya di seluruh negara selepas Pemasyhuran Kemerdekaan 31 Aug 1957, diujudkan beberapa kelas menengah yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai usaha awal merealisasikan Penyata Razak 1957. Pada umumnya kelas-kelas menengah Melayu itu ditempelkan pada sekolah-sekolah berbahasa Inggeris. Di Batu Pahat kelas-kelas demikian diujudkan di Batu Pahat High School. Ada tiga atau empat kelas semuanya yang dimulai pertama kali pada tahun 1957/1958.

Kelas-kelas menengah Melayu di  Batu Pahat High School merupakan unit yang autonom, bebas daripada pentadbiran Guru Besar Batu Pahat High School, walaupun secara fisik sebahagian daripada sekolah itu. En. Muhammad Hj. Nasir, guru lulusan Kirkby Teachers' Training College, Liverpool, England mengendalikan sepenuhnya kelas-kelas tersebut. Beliau dibantu oleh beberapa guru yang lain, antaranya En. Jumaat Hj. Mohd Nor (lulusan Brinsford, England), En. Masrom Hj. Adnan (Brinsford), En. Nordin Awang (Brinsford), En. Anshar Nawi (Language Institute JB/KL) dan lain-lain.

Pendaftaran Murid-murid Awal
Murid-murid Kelas Menengah Melayu, murid-murid Remove Class dari Batu Pahat High School, (untuk mengelakkan kesesakan di sekolah itu) juga murid-murid baru daripada Sekolah Melayu berhampiran yang berhasrat masuk sekolah menengah Melayu mendaftar pada tanggal 2 Januari 1961. Diselenggarakan dengan efisien oleh Cik Asiah Ahmad, kerani sekolah, En. Kadir Soal, budak pejabat dan beberapa orang guru lain yang ikut pindah dari Batu Pahat High School, maka proses pendaftaran berjalan lancar. Kelas mulai fungsional pada minggu kedua penggal satu tahun itu, (Bentara 2/1962.Halaman 15). Dimulailah hidupnya Sekolah Dato Bentara Luar, Batu Pahat yang dipimpin oleh En. Zainal Abidin bin Tamby, Guru Besar yang pertama dan dinamis itu. Sekolah yang baru berdiri ini memperoleh penghormatan yang besar apabila dikunjungi oleh YAM Tengku Mahkota Johor tanggal 21 Januari 1961. Pada tahun 1964 Remove Class dipisahkan daripada Sekolah Dato Bentara Luar.

Sejumlah 763 orang murid didaftarkan pada Hari Pendaftaran tersebut dan 82 orang murid belajar di kelas Sijil Pelajaran Malaysia yang pertama bagi sekolah kita. Pada tahun 1961 murid-murid ini merupakan calon yang pertama mengikuti Ujian Sijil Rendah Pelajaran yang dikendalikan dalam Bahasa Melayu sepenuhnya. Mengutip kata-kata Dato' Hj. Hassan bin Hj. Yunos, Menteri Besar Johor "... walaupun Sekolah Dato Bentara Luar ini maseh muda umor-nya.....telah pun mengemukakan murid-murid kelulusan Sijil Rendah yang terbaik sekali.....bila di-bandingkan dengan sekolah-sekolah Menengah Kebangsa'an di-Persekutuan Tanah Melayu.....dengan mendapat 85 peratus kelulusan-nya."(Bentara 2/1962-PENDAHULUAN KATA).

Sehubungan dengan ini 56 orang calon mendapat Pangkat Pertama. Kemudian mereka dihantar belajar di sekolah elit, Alam Shah Kuala Lumpur. Salah seorang yang mencatat Pangkat Pertama ialah Shamsuddin bin Hitam yang kini merupakan mantan Ketua Setiausaha, Kementerian Kewangan Malaysia. Murid ini beserta teman-teman yang lain mencatatkan prestasi gemilang lantaran kemahuan yang membaja walaupun kendalinya amat besar- tiada buku teks berbahasa Melayu, tiada peristilahan, tiada guru yang berpengalaman menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dll.

Para Guru Zaman Awal
Guru-guru yang pernah mengajar di kelas menengah Melayu dan Remove Class di Batu Pahat High School pindah ke Sekolah Dato Bentara Luar mulai tanggal 1 Januari 1961. Guru sementara diambil supaya jumlah guru sebanyak 29 orang dapat dicapai untuk sekolah itu. Sejumlah 9 orang guru sementara diambil bertugas.

Mulai dari awal sejarah persekolahan lulusan dari Brinsford, Kirkby (England) dan lulusan Language Institute/Maktab Bahasa (JB dan KL) merupakan mayoritas tenaga pengajar. Antara yang dilatih di Negeri Inggeris ialah En. Muhammad Haji Nasir (Kirkby), En. Jumaat b. Hj. Mohd Nor, En. Masrom Hj. Adnan, En. Yaacob b. Abd. Rahman, En. Nordin Awang, En. Salleh b. Hj. Hussein, En. Abd. Razak Rouse (Brinsford semuanya). Lulusan Maktab Bahasa terdiri daripada En. Abu b. Juraimi dan Kamar bin Ibrahim yang menggantikan En. Anshar Nawi yang berpindah ke Kelang, Selangor.

Ternyata sedari awalnya tidak terdapat guru lulusan universiti. Tetapi mulai tahun 1963 untuk pertama kali dua guru lulusan universiti mulai mengajar di sekolah kita. Mereka itu Cik Norlia binti Ali B.A (Hons). Dip.Ed. dan Puan Yohani binti Mohd Yusuf B.A. Dip. Ed, kedua-duanya lulusan University Malaya (Singapore).

Guru American Peace Corps yang pertama di Sekolah Dato Bentara Luar, Mr. Richard Sussman, mulai bertugas pada tahun 1968. Dua tahun kemudian sekolah kita menerima pula guru Indonesia yang diperbantukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia selaku guru ilmu pasti/alam (Matematik dan Sains). Mereka itu terdiri daripada: Drs. Sujadi, Bapak Parlaungan Lubis; Bapak Djam'an Salleh; Bapak Marsoediono; Ibu Hamidah dan Ibu Aisjah Hutabarat.

Guru-guru lulusan Brinsford, Kirkby dan Maktab Bahasa yang menerima pendidikan di sekolah Inggeris zaman kolonial menghadapi kekurangan buku teks berbahasa Melayu, peristilahan yang minimal dan kompetensi yang minimal pula dalam menyampaikan pelajaran dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan dengan Bahasa Melayu yang baku dan gramatis, kendatipun di tingkat sekolah menengah. Namun nasionalisme dan patriotisme di jiwa raga mendorong mereka tanpa rasa jemu mencari bahan-bahan pengajaran dan menterjemahkannya ke Bahasa Melayu dan menyediakan bahan tambahan sebelum menghadapi anak-didik di kelas.

Gabungan guru pelopor Brinsford-Kirkby-Language Institute (Course A) mengajarkan matapelajaran apa saja tanpa banyak tanya. Mereka dapat menyesuaikan diri dengan kondisi mengajar-belajar zaman pasca-kemerdekaan yang penuh kendala dan tantangan itu.

Perlu dicatat bahwa salah seorang guru pelopor yang bahu-membahu dengan yang lain-lainnya menegakkan Bahasa Melayu dengan usaha konkret sebagai bahasa ilmu-pengetahuan di Sekolah Menengah Datuk Bentara Luar ialah En. Jumaat bin Hj. Mohd Nor. Sewaktu meniti karirnya dalam Perkhidmatan Pendidikan, beliau cepat diangkat memegang posisi yang tinggi. Beliau adalah mantan Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia. Setelah itu sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Konsolidasi
Dalam minggu kedua setelah murid-murid baru didaftarkan tanggal 2 Januari 1961, sessi akademis dimulai. Pada waktu yang sama berlangsunglah proses konsolidasi untuk memantapkan keberadaannya sebagai salah satu sekolah menengah kebangsaan yang terawal (kalau tidak pun yang terawal).

Langkah awal yang diperkenalkan oleh Guru Besar, En. Zainal Abidin bin Tamby ialah seruan "Majulah Kita!". Murid-murid yang berpapasan dengan Guru Besar akan menyerukan ungkapan "Majulah Kita" kepada Guru Besar yang akan menyambut dengan kata "Tetap!" dengan suara yang tegas. Perbuatan ini diharapkan dapat membina dan menanamkan rasa setiakawan dan meniup semangat mengejar kemajuan diri di kalangan para murid. Satu lagi inisiatif En. Zainal Abidin, yang pada umumnya mencerminkan kepedulian dan keprihatinan seluruh staf pengajar ialah mewujudkan "UNDERPRIVILEGED PUPILS FUND" (Bentara 1/61. Halaman 43 dan 49). Amatlah memberangsangkan dan juga mengharukan apabila Y. A. M Tungku A. Rahman - T. M. J Johore dan Y. A. M Tungku Mahmood Iskandar merestuinya.

Sebagai hasil buah-pikiran dan persepakatan En. Muhammad bin Haji Nasir, En. Jumaat bin Haji Mohd Nor dan En. Ali bin Jalil dan persetujuan Guru Besar didesain emblem sekolah seperti di bawah ini:




Kata-kata keramat sebagai motto sekolah membawa maksud "berbakti untok ramai sa-belum berbakti untok diri sendiri," (Bentara 2/62-Laporan G.B). Barangkali ungkapan ini diadaptasi dari yang aslinya "Boedi Oetomo" (ejaan Ophuysen). Lukisan emblem sekolah yang di atas dipertanggungjawabkan kepada En. Ali bin Jalil (MTTC Penang) yang merupakan Guru Lukisan. Lagu atau Hymn Sekolah diciptakan pula oleh Ghazali Karim dan Maarof Sarpan, kedua-duanya komponis setempat yang tidak asing lagi. Judulnya seperti Motto Sekolah-Budi Utama dan dinyanyikan sewaktu Perhimpunan Minggu Pagi. Lambang dan motto sekolah yang awal ini diganti pada tahun 1970.



Emblem sekolah yang baru dan dipakai hingga kini dalam rentang lima puluh tahun dihasilkan oleh En. Abdul Rahman b Ghani (Guru Lukisan lulusan STTI Cheras). Motto yang baru disarankan oleh Drs. Sujadi. Motto pada emblem baru adalah ungkapan dari Bahasa Kawi/Bahasa Melayu Kuno - NIR KARSA-NIR JAYA. Maksudnya tiada upaya/usaha tiada jaya. Dirasakan jika lembaga pendidikan di Barat dan di Malaysia juga (terutama yang menggunakan Bahasa Inggeris) menggunakan ungkapan Bahasa Latin, Sekolah Dato Bentara Luar mengambil prakarsa menggunakan NIR KARSA-NIR JAYA daripada Bahasa Kawi sebagai mottonya. Dengan berbuat demikian pastilah Sekolah Dato Bentara Luar merupakan satu-satunya sekolah yang mottonya berasal daripada bahasa nenek-moyang kita.

Lagu sekolah turut diganti dengan yang baru yang dikenal sebagai March Bentara. Musik dan lirik oleh Drs. Sujadi juga.

House System dan Prefectorial System yang kedapatan di sekolah-sekolah Inggeris zaman kolonial diperkenalkan di sekolah kita. Pada ujung Penggal Satu para murid digolongkan kepada empat "pasokan"- Tengku Mahkota Abd. Rahman; Tengku Mahmood Iskandar; Abd. Rahman Talib; dan Ponniah (Bentara 01/1961. Halaman 40). Ketua Murid dilantik pada waktu yang sama dan Mohd. Jalal bin Ahmad dipilih sebagai Ketua Murid yang pertama dalam sejarah sekolah.

Pada awal Penggal Dua tanggal 9 April 1961 En. Salleh bin Haji Hussein mendirikan Kelab Tinju dan Kelab Gimnastik. Sambutan para murid amat memberangsangkan. En Salleh mendapat latihan keguruan di Brinsford dan Pendidikan Jasmani (P.E) adalah spesialisasinya. Sebahagian kantin sekolah diubah menjadi gimnasium untuk latihan gimnastik dan tinju.

Peristiwa-peristiwa sekitar hari dan tahun kelahirannya pada tahun 1961 direkam dan diabadikan dalam Buku Tahunan yang pertama yang dinamai BENTARA. Sifatnya dwibahasa. Pelajar di Tingkatan 2A, Ibrahim Ahmad ditunjuk sebagai Ketua Redaksi (Bentara 1/61. Halaman 5). Ikut pula dia menyumbang sebuah tulisan berjudul "HIDUP SANDAR MENYANDAR UMPAMA AUR DAN TEBING" (Bentara 1/61. Halaman 26). Mantan pelajar ini pernah menjadi pegawai tinggi dalam Perkhidmatan Awam.

Menarik hati sekali mengutip kata-kata En. Zainal Abidin Tamby, Guru Besar yang pertama mengenai dokumen yang penting ini dalam sejarah Sekolah Dato' Bentara Luar : "Dengan berani-nya kami mengeluarkan Majallah pertama ini di-dalam dua bahasa, Melayu dan Inggeris." (Bentara 2/62. Halaman 16). Pada tahun berikutnya (1962) menyusul Bentara No. 2 yang bersifat tribahasa dan dimuat tiga buah tulisan berbahasa Mandarin oleh murid-murid Remove Class.

Di samping tulisan pelajar-Ketua Redaksi Buku Tahunan / Bentara No. 1, dimuat pula buah pena pelajar yang lain, Johar bin Murat. Judulnya "DI-MANA ADA KEMAHUAN DI-SITU ADA JALAN". Pelajar muda dan pendiam dari desa ini ternyata seorang yang gigih dan punya swa-motivasi yang luar biasa. Judul tulisannya itu diangkatnya sebagai filsafat hidupnya yang menggariskan trajektori pendidikannya mulai di Sekolah Datuk Bentara Luar ke sebuah sekolah menengah elit dan kuliah di sebuah universiti terkenal sebelum meraih ijazah. Kemudian dia meniti karir pada Perkhidmatan Awam Malaysia dan menanjak sebagai salah seorang eselon atasan di Kementeriannya.

Kurang-lebih enam bulan setelah Sekolah Dato Bentara Luar berfungsi, didirikan pula Kumpulan "Budak2 Pengakap" tanggal 2 Julai 1961. Kemudian secara resmi dikenal sebagai KUMPULAN XI BANDAR PENGGARAM, BATU PAHAT. Menarik hati sekali bahwa pemimpin-pemimpinnya semuanya staf pengajar sekolah kita, yang guru sementara mahu pun yang tetap. Mereka terdiri dari
1. En. Abd Razak bin Rouse - kemudian menjadi Guru Besar 1962-1969
2. En. Ya'acub bin Hj. Abd Rahman -terlatih di Brinsford
3. En. Abd. Wahab bin Abd Aziz -guru sementara
4. En. Yahya bin Hj Mohamed - guru sementara

Semua perkara dan kegiatan untuk mengisi keberadaan awal Sekolah Dato Bentara Luar merupakan bukti nyata bahwa "claim" mengenai Sekolah Dato Bentara Luar Batu Pahat adalah sekolah menengah yang terdahulu bukan "omong kosong" dan sekaligus mencerminkan dinamisme, tekad kental dan aspirasi nasional yang tinggi kepemimpinan sekolah dan kerabat staf pengajarnya.

SELAMAT ULANG TAHUN KE-52
DIRGAHAYU SEKOLAH DATO BENTARA LUAR

Oleh:
Haji Hanafiah Kamal Bahrin Lubis aka
Kamar bin Ibrahim
Guru SDBL 1961-1977
Kajang, Selangor.
Desember 2012

1 comment:

  1. Sir, you blog is truly inspirational. that is all I can say. I thank you for putting it up.
    KHS 1983.

    ReplyDelete